Kuala Lumpur Post

Social

JAS Kedah siasat punca pencemaran Sungai Kulim

ALOR SETAR — Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah sedang menyiasat kejadian pencemaran di hulu Sungai Kulim yang dipercayai berpunca daripada aktiviti penternakan khinzir di perkampungan Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah, dekat Pulau Pinang.

Pengarahnya Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan pencemaran itu menerusi sistem ‘Notification of Pollution Event’ (NPE) Tahap 1 pada 11 pagi, Jumaat lepas.

“Maklumat bacaan bagi parameter amoniakal nitrogen (NH3-N) yang direkodkan adalah 2.91152 miligram seliter (mg/L) dan melebihi had yang ditetapkan. Sehubungan itu, sepasukan pegawai penyiasat daripada Cawangan Kulim telah digerakkan bagi mengesan punca pencemaran.

“Semakan rekod inventori dan siasatan di lapangan meliputi kawasan hulu Sungai Kulim kemudiannya telah dijalankan, dan hasilnya menemukan aliran air berwarna hitam dari Sungai Air Merah yang terletak bersempadan antara Kedah-Pulau Pinang telah memasuki Sungai Kulim,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pasukan penyiasat kemudian telah menyusuri Sungai Air Merah dan melakukan pemantauan menggunakan dron di sepanjang sungai berkenaan.

“Pemantauan melalui dron di sepanjang Sungai Air Merah telah mengesan punca pelepasan air hitam itu yang disyaki berpunca daripada pelepasan efluen atau air sisa daripada aktiviti penternakan khinzir di perkampungan Sungai Lembu.

“Pemeriksaan di sekitar kawasan penternakan khinzir menemukan beberapa kolam yang melepaskan efluen ke Sungai Air Merah yang kemudiannya memasuki Sungai Kulim. Jarak antara kawasan penternakan ke pertemuan Sungai Air Merah-Sungai Kulim adalah tiga kilometer (km),” katanya.

Menurut Sharifah Zakiah terdapat Loji Rawatan Air Toh Allang di Sungai Kulim (di Pulau Pinang) yang membekalkan air bagi Pulau Pinang dan loji itu terletak kira-kira tujuh km dari pertemuan Sungai Kulim dan Sungai Air Merah.

Beliau berkata hasil siasatan itu telah dimaklumkan kepada JAS Pulau Pinang untuk diambil tindakan oleh pihak berkuasa di Pulau Pinang seperti Jabatan Veterinar dan Badan Kawal Selia Air.
“Semua pihak digesa untuk tidak melakukan pencemaran sungai kerana ia boleh menyebabkan loji air ditutup dan menjejaskan bekalan air,” katanya.