Nation
437

Jawatan TPM satu amanah, tanggungjawab berat : Ismail Sabri

Kuala Lumpur – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri hari ini menerima tanggungjawab itu sebagai amanah yang perlu digalas dengan ikhlas dan jujur demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara.

Beliau yang kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan berkata pelantikan itu bukan satu keistimewaan, sebaliknya adalah amanah dan tanggungjawab yang berat khususnya ketika negara menghadapi pandemik COVID-19 dan dalam usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Doa saya, semoga kita semua tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik dapat bersama-sama membawa Malaysia mencapai masa depan yang lebih cemerlang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan manakala Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilantik sebagai Menteri Kanan mengetuai Kluster Keselamatan, yang diketuai Ismail Sabri sebelum ini.

Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO, turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain berterima kasih kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan seluruh kepimpinan parti atas pelantikan itu.

“Terima kasih juga kepada Ahli-Ahli Parlimen, pemimpin-pemimpin parti politik dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu