Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

Jelajah AKM, isu cerun ketika monsun tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR — Impak positif siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) ke negeri-negeri dari segi sosial dan ekonomi serta kos yang dikeluarkan dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan mengenai perkara itu akan diajukan Cha Kee Chin (PH-Rasah) kepada Perdana Menteri pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Turut dijangka menjadi tumpuan ialah pertanyaan Datuk Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) mengenai perancangan dan persediaan Kementerian Kerja Raya bagi memantau cerun-cerun berisiko tinggi di kawasan Parlimen Cameron Highlands ketika musim peralihan monsun timur laut yang diajukan

kepada Menteri Kanan Kerja Raya.

Pada sesi sama, Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) juga akan mengajukan pertanyaan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai status terkini pemasangan jalur lebar satelit di Sabah berikutan capaian Internet yang masih lemah terutamanya di kawasan luar bandar.

Pada Waktu Pertanyaan Menteri, Azizah juga meminta Perdana Menteri menyatakan status semasa tindakan yang telah dilaksanakan kerajaan berkenaan isu tuntutan pihak yang mendakwa Kumpulan Sulu.

Turut tersenarai ialah pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Menteri Kanan Kerja Raya mengenai punca kejadian lubang mendap di tengah-tengah jalan yang berlaku di Butterworth, Pulau Pinang dan tempoh serta kos yang diambil untuk membaikinya selain membangkitkan kejadian serupa di beberapa bandar utama dalam negara sebelum ini.

Persidangan hari ini juga akan menyaksikan pembentangan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Penculikan (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Keadilan Jenayah (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Senjata (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2022, Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.3) 2022 dan Rang Undang-Undang Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 2022 untuk bacaan kali pertama.

Selain itu, mesyuarat juga dijangka tertumpu kepada perbahasan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bagi bacaan kali kedua.

Pada sesi itu, Menteri Kesihatan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dijangka mencadangkan penyata yang mengandungi cadangan penambahbaikan kepada rang undang-undang itu dibentang di Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat pada 2 Ogos lepas meluluskan rang undang-undang berkenaan untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas yang dianggotai 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bagi membolehkan jawatankuasa itu membuat syor-syor untuk meneliti bahagian penguatkuasaan dalam rang undang-undang itu.

Rang undang-udang berkenaan antaranya akan melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau ‘vape’ kepada individu yang dilahirkan pada 1 Jan 2007 dan tahun seterusnya, bertujuan melahirkan Generasi Penamat atau Generational End Game(GEG) bagi merokok.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 32 hari hingga 29 November, lapor Bernama.

Tags: , ,