Social
161

Jenayah seksual dalam kalangan remaja bawah umur membimbangkan

Melaka – Kes jenayah seksual melibatkan golongan remaja bawah umur dan pelajar sekolah kini dilihat semakin membimbangkan kerana turut menyaksikan mereka yang berumur seawal 15 tahun terjebak dengan kegiatan tidak bermoral itu.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata lebih menggusarkan, ada yang sanggup menyewa unit pangsapuri atau hotel untuk melakukan aktiviti tidak bermoral malah tidak segan silu berkongsi pengalaman itu secara terbuka dengan rakan menerusi telefon bimbit.

Beliau berkata bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak lima kes direkodkan manakala pada tahun lepas sebanyak 69 kes dilaporkan.

“Kita dapati berlaku peningkatan kes jenayah seksual ini di Melaka dan apa yang kita bimbangkan ialah ia membabitkan penglibatan anak-anak bawah umur malah ada kes yang berlaku tanpa paksaan si pelaku mahu pun kerelaan mangsa.

“Justeru, kita amat berharap ibu bapa mengawasi tingkah laku dan pergerakan anak masing-masing supaya mereka tidak terlibat dalam pergaulan bebas yang boleh memberi kesan kepada masa depan anak mereka,” katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Hari Polis Ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di Ayer Keroh hari ini.

Abdul Majid juga berkata pihaknya kini dalam proses menjalin kerjasama strategik dengan Persatuan Pesara Polis dan badan bukan kerajaan di negeri itu bagi mengambil langkah proaktif untuk mengekang aktiviti tidak bermoral tersebut.

Katanya polis Melaka turut mengambil beberapa inisiatif untuk memperkukuh hubungan dengan masyarakat dalam pencegahan jenayah antaranya menghubungi 30 individu seperti wakil penduduk atau ahli Rukun Tetangga bagi mengetahui permasalahan setempat atau jenayah yang berlaku. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu