Social
2K

Jiran bergaduh gara-gara isu tanaman & parkir

Shah Alam – Sejak semalam, kekecohan pertengkaran mulut di antara beberapa jiran lelaki dan wanita di sebuah kawasan perumahan di Seksyen 24, di sini menjadi perhatian warga maya.

Difahamkan kejadian dipercayai berpunca daripada isu tanam pokok bunga dan parkir kenderaan sebagaimana video yang diulang kongsi di media sosial seperti Facebook serta aplikasi Whatsapp itu.

Video berdurasi 4 minit 4 saat itu menunjukkan kekecohan pertengkaran mulut sehingga berlaku tolak-menolak selain membaling objek seperti pasu bunga mendapat pelbagai reaksi berbeza daripada netizen.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya ada menerima dua laporan polis berhubung kejadian yang membabitkan sekumpulan lelaki dan wanita yang tinggal berjiran.

“Setakat ini, polis menerima dua laporan berkaitan isu ini daripada kedua-dua pihak yang terbabit.

“Siasatan mendapati, kejadian berlaku pada Jumaat, kira-kira jam 3 petang di taman perumahan Seksyen 24 yang berpunca daripada isu tanaman dan masalah parking kenderaan oleh kedua-dua belah pihak sehingga mencetuskan insiden pertengkaran serta pergaduhan.

“Semua yang terbabit dipanggil untuk dirakam percakapan dan siasatan lanjut dijalankan setelah laporan polis diterima,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Baharudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) PPPB 2021 iaitu kesalahan pelanggaran SOP PKP yang boleh membawa hukuman penjara dan juga denda.

“Polis masih meneruskan siasatan secara adil dan saksama meskipun kedua-dua pihak sudah menarik semula laporan polis yang dibuat.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam kadar segera bagi mendapatkan keputusan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya tidak mengambil sebarang tindakan secara melulu dalam apa jua situasi yang boleh menyebabkan pelanggaran undang-undang.

“Mana-mana pihak juga dinasihatkan agar tidak mengambil sebarang kesempatan di dalam isu ini demi perpaduan sejagat,” katanya. — Harian Metro

Tags: , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu