Nation
111

JKKP Selangor keluar notis henti kerja susulan pekerja maut jatuh dari ketinggian 15 meter

Shah Alam – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor telah mengeluarkan satu notis larangan serta merta (NOP) bagi menghentikan semua aktiviti pengubahsuaian dan menaik taraf salah satu bahagian di sebuah kilang pembuatan sarung tangan di Jalan Kapar, Klang, dekat sini, selepas seorang pekerjanya dilaporkan meninggal dunia akibat terjatuh dari satu platform tinggi semasa bekerja Ahad lepas.

Pejabat Pengarah JKKP Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan susulan insiden itu, pihaknya mengarahkan sepasukan pegawai penyiasat menjalankan siasatan awal dan mendapati pekerja lelaki warga Myammar itu pada mulanya ditugaskan oleh majikan untuk mengecat steel walkaway platform di tingkat enam kilang berkenaan.

Menurutnya lelaki itu dipercayai tergelincir lalu jatuh dari platform yang tidak diadang daripada ketinggian 15 meter, ke atas lantai kilang dan dia tidak dibekalkan dengan peralatan perlindungan diri yang bersesuaian.

Susulan itu JKKP Selangor memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Akta Kilang dan Jentera 1967.

“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, melakukan penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini adalah bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelak berlakunya kemalangan,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya kemalangan berkenaan boleh dielakkan jika majikan melakukan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, lelaki berkenaan yang berumur 60 tahun disahkan mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu