Social
234

JKN : Kematian seorang gadis di Baling bukan sebab vaksin

Alor Setar – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menafikan dakwaan bahawa seorang pelajar perempuan meninggal dunia akibat suntikan vaksin COVID-19 di Baling, baru-baru ini.

Pengarahnya Dr Othman Warijo berkata pihaknya telah membuat siasatan segera mengenai perkara itu dan mendapati, dakwaan itu tidak benar.

“Hasil siasatan mendapati, Allahyarham merupakan seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang bukan lagi pelajar sekolah. Beliau telah menerima satu dos suntikan vaksin COVID-19 pada 5 Sept 2021 di pusat pemberian vaksin Dewan Tun Abdul Razak, Baling.

“Beliau ada mengadu sakit perut pada 19 Sept 2021 dan telah diberi rawatan di Hospital Baling. Namun begitu, 20 hari selepas divaksin iaitu pada 25 Sept 2021, beliau dibawa ke Hospital Baling kerana tidak sedarkan diri. Tahap kesihatan beliau cepat merudum dan kemudiannya disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata jenazah telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk bedah siasat yang mendapati Allahyarham meninggal dunia disebabkan ‘ruptured thoracic aneurysm’ (saluran darah pecah) dan tiada kaitan dengan suntikan vaksin COVID-19.

“JKN Kedah mengucapkan takziah kepada keluarga arwah atas kehilangan ini. Jabatan ini ingin menasihati masyarakat umum agar elakkan mempercayai serta menyebarkan berita yang tidak disahkan dan dapatkan maklumat yang sahih berkaitan COVID-19 serta vaksin COVID-19,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu