Nation
134

JKNT nafi peniaga di Pasar Besar Kedai Payang mati akibat Covid-19

Kuala Terengganu – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) hari ini menafikan berlakunya kematian peniaga di Pasar Besar Kedai Payang di sini, akibat COVID-19 seperti yang tular menerusi media sosial baru-baru ini.

Pengarahnya Datuk Dr Kasemani Embong berkata memang terdapat jangkitan COVID-19 dalam kalangan peniaga di pasar tersebut namun tiada kematian dilaporkan.

“Bermula 31 Okt hingga Sabtu lepas (13 Nov) seramai 36 daripada 1,000 peniaga di pasar tersebut telah dijangkiti COVID-19.

“Kesemua mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. Dua daripada mereka telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan kemudian telah dibenarkan pulang. Semua kontak rapat telah dikenal pasti dan dikuarantin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Dr Kasemani meminta orang awam supaya tidak menularkan sebarang berita yang tidak sahih bagi mengelak tercetusnya kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata JKNT akan sentiasa memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya bagi memastikan penularan COVID-19 dapat disekat.

Antara laporan yang tular itu kononnya beberapa peniaga di Pasar Besar Kedai Payang telah meninggal dunia akibat COVID-19 dan ramai yang ditidurkan serta menasihatkan orang ramai agar tidak berkunjung ke pasar tersebut demi keselamatan diri masing-masing, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu