Nation
183

‘JOHARI’ JUGA MENGENAL MANIKAM

11hb April 2021

Oleh: JL Navien

*-Mangsa Kebakaran Kawasan Setinggan Kampung Pandan Bertemu Datuk Seri Johari Untuk Mendapatkan Nasihat*

Kuala Lumpur – Meskipun bukan lagi Ahli Parlimen untuk warga Titiwangsa, dan juga tidak memegang sebarang portfolio dalam kabinet, Pejabat Datuk Seri Johari Abdul Ghani masih mendapat kunjungan dari para pengundi untuk mengadu masalah mereka. Hujung minggu yang selalunya dikhaskan untuk riadah bersama ahli keluarga dikorbankan juga oleh beliau untuk mendengar rintihan rakyat yang hidup dalam kesengsaraan.

Pertemuan kali ini yang diaturkan oleh Encik S.Arumugam, Ketua Pemuda MIC Wilayah Persekutuan dan Encik RT.Sundaram, Pengerusi MIC Bahagian Titiwangsa adalah demi mendengar keluhan mangsa kebakaran setinggan Kampung Pandan yang telah kehilangan rumah mereka pada 1 Mac yang lalu. Saudara Kumar bersama pasukan sukarelawannya yang kini sedang mengusahakan proses pembangunan semula rumah yang terlibat telah kebuntuan jalan penyelesaian dan tidak dapat mengorak langkah seterusnya.

Encik Kumar telah mengadakan perjumpaan dengan Saudara Arumugam, juga selaku Timbalan Ketua Pemuda Barisan Nasional Wilayah Persekutuan, dan Encik RT.Sundaram di Ibu Pejabat MIC Wilayah Persekutuan pada awal minggu ini. Hasil dari perjumpaan tersebut, mereka telah berjaya mendapatkan temujanji untuk bertemu Datuk Seri Johari Abdul Ghani dengan bantuan Encik P. Stritharan, Timbalan Pengerusi MIC Bahagian Titiwangsa dan Cawangan Kampung Pandan.

Perjumpaan yang bermula pada 10.00 pagi hari ini di Pejabat UMNO Bahagian Titiwangsa telah tamat selepas hanya 15 minit kemudian kerana Datuk Seri Johari telah mencadangkan bahawa perjumpaan ini disambung di tempat kejadian. Genap 10 minit kemudian, rombongan yang terdiri dari 15 orang itu telah berada di kawasan setinggan yang telah dijilat api.

Banyak perkara yang telah dibincangkan dan Datuk Seri Johari telah memberi pandangan dan cadangan beliau kepada Saudara Kumar dan rakan seperjuangannya untuk diteliti dan diperhalusi. Jelas sekali, setelah sekian lama rombongan tersebut telah dapat melihat cahaya di hujung terowong. Apatah lagi, Datuk Seri Johari memang terkenal dengan pendekatan beliau yang sentiasa konklusif dan efektif, bah kata pepatah bertanjak baharu tinjau.

Ekoran dari perjumpaan ini, Datuk Seri Johari telah berjanji untuk melakukan sedaya yang upaya untuk membantu dalam penyelesaian penempatan semula mangsa-mangsa kebakaran tersebut.

 

Turut hadir bersama sewaktu perjumpaan ini ialah Encik Sundaram, Ahli Majlis Tertinggi Pemuda MIC Kebangsaan dan Saudara J.L.Navien, Naib Ketua Pemuda Barisan Nasional Wilayah Persekutuan.

Encik P.Stritharan yang menjadi sebahagian dari rombongan tersebut menegaskan bahawa Datuk Seri Johari Abdul Ghani bukan sahaja seorang wakil rakyat yang disegani malah beliau umpama pemberi cahaya kepada golongan yang tertindas dan terpinggir dari arus pembangunan. Kesinambungan bakti beliau kepada rakyat kini masih wujud lagi melalui program-program yang menyentuh keperluan kebajikan rakyat di Titiwangsa yang dianjurkan oleh Yayasan Bena Nusa.

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu