Kuala Lumpur Post

Nation

JPDP siasat dakwaan laman misi rakyat digodam

KUALA LUMPUR — Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah memulakan siasatan terhadap dakwaan insiden penggodaman laman sesawang Misi Rakyat milik syarikat Bangsa Bertauhid Sdn Bhd.

JPDP dalam kenyataan hari ini memaklumkan laporan berkaitan insiden ketirisan itu yang didakwa dimuat naik oleh seorang penggodam dalam laman sesawang BreachForums dan aplikasi Telegram pada 3 dan 4 Julai lepas diterima daripada MyCERT, CyberSecurity Malaysia (CSM) pada 4 Julai.

Jabatan itu telah menghubungi syarikat terbabit pada hari sama untuk mendapatkan pengesahan berkenaan insiden dan sampel data yang terlibat.

“JPDP juga telah mengarahkan syarikat tersebut untuk menjalankan siasatan dalaman dan melengkapkan borang Notifikasi Ketirisan Data (DBN).

“Siasatan terhadap insiden berkenaan telah dimulakan setelah borang DBN diterima pada 10 Julai dan pengasas laman sesawang Misi Rakyat telah dipanggil untuk hadir ke JPDP bagi prosedur rakaman percakapan semalam,” menurut kenyataan itu.

Jabatan itu memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan CSM untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden tersebut bagi mengenal pasti sekiranya berlakunya sebarang pelanggaran di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

“JPDP menggesa agar semua syarikat dan organisasi yang memproses data peribadi dalam transaksi komersial untuk mematuhi Prinsip, Peraturan dan Standard Perlindungan Data Peribadi di bawah Akta 709. Syarikat dan organisasi juga diingatkan agar lebih berhati-hati ketika memproses data peribadi bagi mengelak berlakunya insiden ketirisan data peribadi,” menurut kenyataan itu, lapor Bernama.

Tags: ,