Nation
227

JPJ nafi penglibatan pegawai dalam sindiket lesen terbang

Kuala Lumpur – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan penglibatan pegawainya dalam sindiket ‘lesen terbang’ seperti ditularkan menerusi hantaran dimuat naik oleh pemilik sebuah akaun Twitter.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata pemilik akaun berkenaan berkongsikan tangkap layar akaun Instagram menggunakan nama Smart Driving Academy dipercayai menawarkan khidmat mendapatkan lesen dengan kadar bayaran rendah tanpa perlu menghadiri kelas dan ujian memandu.

“Modus operandi ini sering kali digunakan sindiket melalui platform media sosial dengan mempromosikan iklan ‘lesen terbang’ selain menggunakan gambar Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk meyakinkan orang ramai membuat bayaran sebelum sindiket bertindak menghilangkan diri.

“Kenyataan di tangkap layar itu turut menyatakan pihak Smart Driving Academy menjalankan kegiatan tersebut dengan penglibatan pegawai atasan JPJ selain pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Zailani berkata pihaknya mengambil tindakan dari segi siasatan dijalankan dengan kerjasama SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selain Cyber Security bagi mengesan pemilik akaun di media sosial yang menjalankan operasi sindiket penipuan ini.

Jelasnya, pelbagai pendekatan turut dilaksanakan oleh JPJ dalam mengekang penglibatan warga kerjanya daripada terlibat aktiviti tidak berintegriti tersebut.

“Antaranya inisiatif pembangunan sistem yang mewajibkan pengesahan ID penyelia atau pegawai kanan sebelum sebarang transaksi pengeluaran LLM dilaksana serta pemantauan dan pengauditan urus niaga di bawah ISO 37001 Anti-Bribery Management System (ABMS).

“Pihak JPJ juga menegaskan tidak sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku membabitkan warga kerja yang melibatkan integriti, salah guna kuasa dan rasuah khususnya melibatkan aktiviti ‘lesen terbang’ seperti didakwa pemilik akaun Twitter terbabit,” katanya.

Beliau dalam masa sama mengingatkan orang ramai untuk tidak mudah terpengaruh dengan sebarang bentuk tawaran seumpama itu yang jelas tidak mengikut peraturan dan undang-undang digariskan JPJ, lapor Bernama.

Tags: ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu