ALOR SETAR — Taktik penyamaran anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai penumpang mengena apabila berjaya mengesan tiga pemandu bas ekspres yang membuat panggilan video dan siaran langsung di TikTok ketika memandu, menerusi Op Hari Raya Aidilfitri 2024 pada 1 hingga 20 April lepas.
Timbalan Pengarah JPJ Kedah, Shahrul Azhar Mat Dali berkata tiga pemandu berusia 52 hingga 54 tahun itu dikesan melakukan kesalahan pada 1 dan 18 April lepas ketika dalam perjalanan dari Terminal Bas Shahab Perdana, Alor Setar ke Ipoh dan Kuala Lumpur.
“Kita dah banyak kali mengingatkan operator bas dan pemandu berkaitan kesalahan itu, namun masih berlaku… kita saman serta-merta kerana boleh membahayakan penumpang lain.
“Alasan diberikan untuk berkomunikasi, tetapi tak kena pada tempat dan masa, ini menunjukkan sikap dan tahap kesedaran pemandu bas terbabit masih rendah dan tidak mencapai apa kita harapkan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata pihaknya akan meneliti kes berkenaan selanjutnya dan akan mengajukan kes kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan lanjut sekiranya perlu.
Shahrul berkata sepanjang operasi berkenaan sebanyak 54,821 kenderaan diperiksa dan 432 kenderaan disita, manakala 10,151 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya di negeri ini atas pelbagai kesalahan terutama tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.
Kerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi berkenaan, katanya turut berjaya menahan empat pemandu bas berusia 40 hingga 60-an yang dikesan positif dadah jenis Methamphetamine selepas ujian air kencing dijalankan.
Dalam perkembangan lain, Shahrul berkata pihaknya menahan seorang lelaki warga Vietnam berusia 24 tahun setelah didapati menggunakan lesen memandu palsu ketika memasuki negara ini di sempadan negara di Bukit Kayu Hitam pada 9 April lepas.
Beliau berkata hasil soal siasat, lelaki itu memaklumkan dia membeli lesen memandu palsu berkenaan menerusi aplikasi WeChat dengan membayar RM2,000.
“Kita masih menyiasat sama ada ia melibatkan sindiket atau ada lagi warga asing yang menggunakan lesen memandu palsu,” katanya.