Nation
370

JPS akan siasat dakwaan siren amaran banjir tidak berfungsi : MB

Port Dickson – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan akan segera menyiasat dakwaan berhubung siren amaran banjir tidak berfungsi di Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Gemas, sehingga menyukarkan penduduk bersedia apabila banjir melanda kawasan itu dua hari lepas.

Bagaimanapun, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata faktor hujan yang lebat mungkin menyebabkan bunyi siren berkenaan tidak dapat didengari penduduk sekitar.

“Sama seperti yang berlaku di Ampangan, Seremban, siren sebenarnya berfungsi tapi (ketika kejadian) tidak didengari sebab hujan terlalu kuat.

“Kita akan siasat (perkara tersebut), mungkin kita akan kuatkan bunyi siren, tambah lagi siren atau lihat bagaimana keperluan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas program penyerahan borang 5A kepada lapan penduduk Kampung Chuah di sini hari ini.

Beliau berkata penambahan siren sudah pun berada dalam perancangan dan ketika ini beberapa sistem amaran banjir itu sedang dipasang di beberapa daerah.

Berdasarkan maklumat JPS negeri terdapat 22 siren amaran banjir dipasang di kawasan berisiko bagi memberi amaran awal kepada penduduk setempat.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan penduduk Taman Pinggiran Sungai Kelamah kecewa apabila siren amaran banjir di kawasan itu didakwa gagal berfungsi, menyebabkan mereka terpaksa berpindah sehelai sepinggang ke pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Sungai Kelamah kerana air memasuki kediaman terlalu cepat.

Aminuddin berkata Tampin adalah daerah paling teruk dilanda banjir di Negeri Sembilan kali ini, apabila merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,400 individu daripada 396 keluarga, daripada keseluruhan 2,037 individu yang terjejas akibat bencana itu di negeri ini setakat 8 pagi tadi.

Sementara itu, beliau berkata laluan ke Stesen Pemancar Gunung Telapak Buruk, Jelebu, masih belum boleh dilalui untuk semua kenderaan susulan tanah runtuh dan kerja baik pulih sedang dilakukan secara berperingkat.

Tambahnya laluan berkenaan tidak melibatkan penempatan penduduk, lapor Bernama.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu