Nation
172

Jual sijil Covid-19 palsu, Sultan Selangor zahir dukacita

SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dan sangat prihatin apabila diberitahu mengenai kegiatan tidak bermoral segelintir pengamal perubatan swasta di negeri ini yang didapati menawarkan serta menjual sijil digital vaksin COVID-19 palsu kepada orang ramai.

Istana Alam Shah menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Facebook Selangor Royal Office hari ini memaklumkan Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa terkejut dengan modus operandi yang diguna pakai seorang doktor yang juga pemilik sebuah klinik di Gombak dan enam pembantu yang ditahan polis Selangor baru-baru ini yang tergamak mencemarkan etika kerja perubatan profesional.

Titah baginda, menerusi siasatan awal, mereka turut terlibat memberikan suntikan kosong dengan membuang cecair vaksin COVID-19 yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kepada 5,601 pelanggan yang terdiri daripada golongan antivaksin.

Lebih mendukacitakan baginda, ada dalam kalangan pengamal perubatan yang terlibat dengan kegiatan ini adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam, namun sanggup melakukan perkara yang keji dan berdosa demi memperoleh kekayaan segera.

“Baginda amat kecewa dengan perkembangan terbaharu ini yang boleh menjejaskan usaha kerajaan dan KKM untuk menghentikan penularan wabak COVID-19 di Malaysia.

“Baginda telah meminta pihak-pihak berkuasa di Selangor supaya menyiasat, menangkap dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang didapati menyalah guna kuasa sebagai pengamal perubatan. Jika didapati bersalah, mereka ini harus dijatuhi hukuman paling berat,” menurut hantaran itu.

Sultan Selangor turut mempersoalkan sekiranya kegiatan sebegini terus berleluasa ditambah dengan kedegilan golongan antivaksin, bilakah kemelut wabak COVID-19 yang telah membelenggu dunia serta mengorbankan jutaan nyawa sejak dua tahun lepas akan berakhir.

“Rakyat di negara ini tidak akan mampu lagi berhadapan krisis kesihatan kesan daripada penularan wabak penyakit seperti COVID-19, yang telah melumpuhkan ekonomi dan menjejaskan kehidupan harian.

“Baginda berharap tidak ada pihak yang mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi semata-mata tanpa mempedulikan kesan buruk yang boleh berlaku terhadap masyarakat khususnya apabila membabitkan hal ehwal kesihatan awam,” menurut hantaran itu, lapor Bernama.

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu