Nation
194

Jurang harga barangan asas berlebihan perlu diambil tindakan : Mustapa

Jeli – Agensi berkaitan disaran mengambil tindakan kepada peniaga sekiranya mendapati berlaku jurang harga yang berlebihan tanpa alasan kukuh membabitkan bekalan keperluan asas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed bagaimanapun mengakui terdapat jurang harga yang dijual di pasar berbanding di kampung seperti sayur-sayuran kerana ia melibatkan beberapa faktor antaranya kos logistik termasuk harga tambang kenderaan dan sebagainya.

“Perkara ini (jurang harga) antara yang kita kesan…jurang besar ada dikaitkan dengan kos logistik sebagai contoh bekalan keperluan itu dari kampung dan penghantaran ke pasar ia memerlukan kenderaan yang berkemungkinan melibatkan tambang yang mahal dan sebagainya.

“Tetapi sekiranya jurang itu berlebihan atau ketara, tindakan perlu diambil sekali gus bagi memastikan harga yang dikenakan adalah tidak melebihi daripada harga yang sepatutnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jualan Keluarga Malaysia di Pasar Tani Ayer Lanas, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan Adnan Abd Rahman.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata bagi mengatasi masalah itu juga, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan pelbagai program seperti Program Jualan Keluarga Malaysia di seluruh negara yang dilihat dapat meringankan beban rakyat.

Katanya, selain itu kerajaan telah mengenal pasti punca kenaikan kos sara hidup membabitkan beberapa faktor yang dikaitkan termasuk kekurangan bekalan keperluan yang perlu diberikan perhatian oleh semua pihak.

“Oleh itu, kita perlu tangani masalah ini dan seluruh jentera kerajaan telah pun dikerah, untuk mencari jalan bagaimana kita dapat tangani perkara ini,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pandangan sesetengah pihak yang menganggap Program Jualan Keluarga Malaysia sebagai mainan politik, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli itu menafikan perkara itu kerana kerajaan memandang serius untuk membantu rakyat dan program itu dapat memberi manfaat kepada rakyat bertepatan dengan aspirasi Keluarga Malaysia, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu