Social
459

Jurujual kenderaan mengaku tak bersalah sebabkan 3 kematian

Lumut – Seorang jurujual kenderaan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini, atas tiga pertuduhan memandu dengan berbahaya kepada pengguna jalan raya sehingga menyebabkan kematian tiga mangsa bulan lepas.

Tertuduh A R Sathiya Ganes, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.

Dia didakwa memandu dengan berbahaya sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal Mohd Suhail Zainal, 22, dan pemboncengnya Hasrandy Bahrum, 27, serta seorang lagi penunggang motosikal Mohd Nur Hisham Hassan, 29 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 4, Jalan Kampung Acheh-Sitiawan di sini kira-kira pukul 5.30 petang, 21 Ogos lepas, mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun, denda tidak kurang daripada RM20,000 dan maksimum hingga RM50,000 selain hilang kelayakan memegang lesen memandu tidak kurang daripada lima tahun bagi setiap pertuduhan.

Dalam prosiding yang sama, Sathiya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah methamphetamine ke dalam tubuhnya ketika ditahan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, kira-kira 4 petang pada 23 Ogos lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.

Majistret membenarkan jaminan keseluruhan RM12,500 masing-masing dengan seorang penjamin iaitu RM3,500 bagi setiap pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, manakala RM2,000 bagi kes dadah.

Nurul Izalina turut menetapkan 1 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen serta keputusan ujian kimia.

Mahkamah juga memerintahkan agar tertuduh melaporkan diri di balai polis terdekat dua minggu sekali dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan sepanjang tempoh prosiding.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil manakala tertuduh diwakili peguam S. Dharmanathan, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu