Social
195

Jururawat disiasat kerana suntik vaksin palsu

Amsterdam – Seorang jururawat dari Jerman disiasat polis selepas didapati menggantikan enam dos vaksin Covid-19 dengan cecair saline hanya untuk menyembunyikan tindakannya yang menjatuhkan botol vaksin jenis Pfizer.

Lapor Metro, dos vaksin itu kemudian diberikan kepada enam penduduk di pusat vaksinasi Palang Merah Jerman di Friesland.

Pihak berkuasa kini memohon 200 penduduk yang menerima vaksin pada Rabu lalu untuk kembali semula ke pusat kesihatan tersebut bagi menjalani ujian antibodi agar dapat mengesan individu yang belum disuntik vaksin Covid-19 yang sebenar.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan penduduk yang menerima suntikan vaksin mengandungi cecair saline itu tidak akan mengalami risiko kesihatan.

Pentadbir Daerah Friesland, Sven Ambrosy berkata, satu talian bebas diwujudkan bagi membantu penduduk yang terjejas.

Kata beliau, langkah itu bagi mencegah kejadian yang sama daripada berulang lagi.

Insiden itu terbongkar selepas jururawat yang berusia sekitar 40 tahun itu menceritakan perbuatannya kepada rakan sekerjanya pada Sabtu lalu.

Sejak itu, jururawat itu telah digantung kerja.

Polis Wilhelmshaven kini menjalankan siasatan dan boleh mendakwa jururawat itu atas kesalahan yang menyebabkan kecederaan tubuh badan.

Berdasarkan laporan media NDR, jururawat itu mengaku kepada pegawai polis bahawa dia mengisi dos vaksin dengan cecair saline selepas menjatuhkan botol tersebut.

Ia merupakan amalan biasa bagi vaksin jenis Pfizer untuk dicairkan dengan larutan saline sebelum memberi suntikan vaksin kepada penduduk. – Metro

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu