Nation
466

Jururawat mengaku beri suntikan kosong akibat keletihan : Khairy

Putrajaya – Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin menegaskan tiada sebarang kaitan antara isu picagari kosong dengan sindiket penjualan vaksin COVID-19 di negara ini.

Beliau berkata pihaknya telah berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang sedang membuat siasatan berhubung penjualan vaksin, dan mendapati ia tiada sebarang kaitan langsung dengan isu suntikan vaksin mengunakan picagari kosong.

“Daripada 16 juta dos yang telah kita beri secara kumulatif, hanya 13 laporan polis dibuat berkaitan isu suntikan picagari kosong oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di beberapa pusat pemberian vaksin (PPV),” katanya pada sidang media harian PICK bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di sini, hari ini.

Khairy berkata daripada 13 laporan polis yang dibuat, hanya satu kes disebabkan kecuaian oleh petugas kesihatan manakala selebihnya tiada bukti kukuh seperti yang didakwa dan tular dalam media sosial.

Mengulas lanjut, beliau berkata hanya satu kes di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah yang mendapati jururawat mengaku memberikan suntikan kosong akibat keletihan dan jururawat itu telah diberikan amaran serta menjalani proses tatatertib di bawah Kementerian Kesihatan.

Mengenai dua lagi kes melibatkan PPV di Banting dan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), beliau berkata suntikan dos tambahan akan diberikan kepada penerima kerana ketidakpastian daripada petugas kesihatan sama ada wujud kecuaian atau tidak.

Selain itu, Khairy berkata wujud salah faham kerana terdapat pengadu membuat laporan polis kerana tidak mempunyai kesan sampingan seperti tangan tidak kebas, sekali gus mendapati tiada bukti bagi menyokong dakwaan suntikan vaksin kosong itu.

Khairy, yang mengakui terdapat kesilapan atas kecuaian, menegaskan kerajaan sentiasa memelihara integriti PICK dan ribuan petugas barisan hadapan yang berisiko menyuntik rakyat Malaysia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu meminta maaf atas kesilapan yang berlaku berkaitan vaksin sejak beberapa hari lepas dan meminta semua rakyat Malaysia agar terus memberi semangat kepada petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus lumus memberikan vaksin, sekali gus memerangi pandemik COVID-19.

Bagi memastikan isu suntikan vaksin kosong tidak berulang, Khairy berkata penerima vaksin dibenarkan untuk merakam video ketika suntikan vaksinasi mereka di PPV selain memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada iaitu meminta petugas kesihatan menunjukkan picagari yang diisi kuantiti vaksin kepada penerima sebelum suntikan.

“Anda boleh rakamkan video diri anda terima vaksin, jadi anda dan kami (kerajaan) mempunyai bukti kukuh bahawa vaksin yang sempurna telah diberikan,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu