Social
195

Jururawat rugi RM94,000 diperdaya Macau Scam

Seremban – Seorang jururawat berputih mata apabila kerugian RM94,000 selepas diperdaya anggota sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata wanita berusia 31 tahun itu menerima panggilan daripada nombor talian mudah alih, memaklumkan dia mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM38,600 ke atas syarikat yang didaftarkan menggunakan namanya.

“Wanita itu menafikan perkara itu namun panggilan tersebut disambungkan kepada ‘Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuantan’ untuk tujuan membuat laporan polis secara dalam talian.

Selepas itu pengadu bercakap dengan pegawai polis berpangkat ACP dan telah dia diminta memuat naik pautan aplikasi MyBNM,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Aidi Sham berkata pengadu telah diarahkan oleh individu terbabit untuk memasukkan butiran nama serta nombor kad pengenalan dalam aplikasi tersebut bagi tujuan keselamatan supaya wang simpanan akaun wanita itu tidak ditolak.

Bagaimanapun setelah membuat semakan dengan pihak bank, pengadu mendapati wang simpanan salah satu akaun miliknya telah dipindahkan kepada beberapa akaun yang tidak dikenali dalam 11 transaksi dengan jumlah keseluruhan RM94,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan. — Bernama

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu