Social
213

Juruteknik rugi RM470,000 diperdaya sindiket Macau Scam

Seremban – Seorang juruteknik kerugian RM470,000 setelah diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar wakil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Alor Setar, Kedah, Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata dalam kejadian pada kira-kira 3 petang, mangsa lelaki berusia 57 tahun dan berasal dari Nilai itu mendakwa dihubungi oleh seorang individu dikenali sebagai David Simon.

Mangsa dimaklumkan namanya tersenarai hitam kerana tidak melunaskan pembayaran cukai tertunggak sebanyak RM17,600.76 atas nama sebuah syarikat New West Enterprise yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Alor Setar, Kedah.

“Lelaki itu turut memberitahu kepada pengadu kononnya terdapat tangkapan dibuat ke atas seorang lelaki bernama Mohd Faisol Ariffin yang dikatakan mempunyai akaun bersama dengan pengadu yang didaftarkan atas nama syarikat berkenaan, namun pengadu menafikan perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Aibee berkata panggilan itu kemudianya disambung kononnya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan mangsa diminta memberikan semua maklumat akaun bank termasuk kata laluan serta nombor kad ATM sebelum diminta membuat beberapa transaksi ke nombor akaun yang diberikan bagi tujuan siasatan.

Katanya pengadu menyedari ditipu setelah mendapati berlaku transaksi perpindahan wang sebelum bertindak menelefon pihak bank untuk menyekat akaunnya dan membuat laporan polis semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu