Kuala Lumpur Post

Social

Juruteknologi makmal didakwa 25 pertuduhan terima suapan

JOHOR BAHRU — Seorang juruteknologi makmal perubatan di Jabatan Patologi Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, didakwa di Mahkamah Sesyen atas 25 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM16,150.

Saifulamin Sabran, 51, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut semua 25 pertuduhan, lelaki itu didakwa bersetuju menerima wang tunai berjumlah RM16,150 daripada enam individu, yang mana ia mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Wang tunai melibatkan jumlah antara RM500 hingga RM2,000 telah dimasukkan ke beberapa akaun bank milik enam individu, yang menjadi pengantara.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di dua bank di enam cawangan berbeza sekitar Johor Bahru, Bandar Baru Uda, Kota Tinggi, Desaru, Kulai dan Simpang Renggam.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Julaila Jamaludin memohon jaminan RM13,000 dengan seorang penjamin, beserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan, melaporkan diri di pejabat SPRM Johor Bahru sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Shaik Saleem SM Daud yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000, atas alasan anak guamnya mempunyai tiga anak termasuk berusia tiga tahun, bersekolah menengah dan lepasan sekolah menengah, serta isteri tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan Saifulamin diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan yang dimohon pendakwaan dan menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula kes.