Nation
398

Kadar pengangguran negara kembali meningkat

Putrajaya – Kadar pengangguran di Malaysia kembali meningkat kepada 768,700 orang atau pada kadar 4.8 peratus Jun lalu selepas merekodkan penurunan bagi tempoh empat bulan berturut-turut sebelum ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, berdasarkan laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia Jun 2021 itu, peningkatan tersebut melibatkan pertambahan 40,600 bilangan penganggur berbanding bulan Mei yang merekodkan 728,100 orang.

Beliau berkata, bilangan penganggur tidak aktif iaitu golongan yang percaya tiada pekerjaan tersedia merekodkan pertambahan sebanyak 7,600 iaitu 125,800 orang pada Jun berbanding hanya 118,200 pada bulan sebelumnya.

Menurutnya, trend sama juga dilihat dalam penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan dengan peningkatan sebanyak 33,000 ribu orang dengan merekodkan 642,900 penganggur pada Jun berbanding 609,900 pada Mei lalu.

“Mereka yang menganggur kurang dari tiga bulan pula merangkumi 52.3 peratus daripada penganggur yang aktif manakala 9.8 peratus adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tags: ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu