Social
150

Kahwin 4 kali, cerai 3 kali demi cuti

Taipei – Seorang lelaki sanggup berkahwin empat kali dalam tempoh 37 hari semata-mata mahu mendapatkan cuti bergaji yang lebih lama, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.

Lelaki yang bekerja sebagai kerani di sebuah bank itu berkahwin empat kali dan bercerai tiga kali dengan wanita yang sama dalam taktiknya untuk mendapatkan cuti perkahwinan daripada majikannya.

Menurut undang-undang buruh Taiwan, seorang pekerja layak menerima cuti bergaji selama lapan hari apabila mereka berkahwin.

Didorong oleh undang-undang tersebut, lelaki berkenaan mula berkahwin pada 6 April tahun lepas dan kemudiannya menceraikan isterinya pada hari terakhir cutinya.

Lelaki tersebut mengulangi perbuatan itu dalam tempoh 37 hari sehingga akhirnya dia mendapat cuti selama 32 hari atas sebab berkahwin.

Berasa sangsi dengan tindakan tersebut, majikannya bertindak tidak meluluskan cuti pekerja tersebut.

Situasi itu memaksa lelaki itu untuk mengemukakan aduan kepada Biro Buruh Bandar Taipei.

Dalam aduannya, ‘pengantin baharu’ itu mendakwa bank tempat dia bekerja melanggar undang-undang dengan tidak mematuhi Artikel 2 Peraturan-Peraturan Cuti Buruh.

Biro buruh menjalankan siasatan terhadap kes itu dan mengarahkan syarikattersebut untuk membayar denda sebanyak NT$20,000 (RM2,903) kerana melanggar Undang-Undang Buruh.

Bank tersebut cuba mengemukakan permohonan rayuan dengan hujah penyalahgunaan cuti perkahwinan bukanlah merupakan cuti yang sah di bawah Peraturan Cuti Buruh.

Rayuan itu gagal apabila pihak biro bertegas mengatakan bahawa meskipun tindakan kerani berkenaan adalah tidak beretika, namun tidak melanggar undang-undang. – Agensi

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu