Social
211

Kanak-kanak 2 tahun lemas terjatuh dari anjung rumah

Sandakan – Mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun ditemukan awal pagi tadi dipercayai lemas selepas terjatuh dari anjung rumahnya di perkampungan atas air Pulau Bai dekat sini tengah hari semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sandakan Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata mayat Mohamad Fairul Iman Fairus, ditemukan terapung oleh penduduk kampung sekitar 6.30 pagi tadi, satu batu nautika utara Pulau Bai dan dihantar ke rumah keluarga untuk pengesahan.

“Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 6 petang semalam sejurus menerima maklumat berkaitan kejadian tersebut.

“Operasi tersebut dipecahkan kepada lima sektor meliputi keluasan 27 batu nautika persegi dengan penglibatan lima aset laut terdiri daripada APMM, Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainudin berkata mayat mangsa telah dibawa ke Jeti Pejabat Pos Sandakan bersama bapanya dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan Datuk Mohd Rosli Abdullah mewakili pihak APMM melahirkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi serta komuniti nelayan yang terlibat sepanjang operasi SAR itu, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu