Nation
163

Kanak-kanak 3 tahun kes pertama pelancong positif Covid-19 di Langkawi

Alor Setar – Jabatan Kesihatan Negeri Kedah hari ini mengesahkan terdapat kes pertama positif COVID-19 melibatkan pelancong di Langkawi bagi gelembung pelancongan iaitu kanak-kanak berumur tiga tahun.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo berkata hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi, kanak-kanak berasal dari Nilai, Negeri Sembilan itu tiba bersama ibu bapanya di Langkawi pada 7.30 malam, 24 Sept lepas dengan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Beliau berkata pada keesokannya (25 Sept), kanak-kanak itu mula mengalami demam dan dibawa mendapatkan rawatan pada 26 Sept, kemudian telah disahkan positif COVID-19.

 

“Sehingga hari ini, hanya satu kes positif dilaporkan melibatkan pelancong ke Langkawi dan tidak ada penularan dalam kalangan ahli keluarga dan penduduk setempat.

“Keadaan pesakit adalah bergejala ringan dan diletakkan di bawah pemantauan CAC (Pusat Penilaian COVID-19) Daerah Langkawi manakala kontak rapat yang lain adalah tidak bergejala dan semuanya telah lengkap vaksinasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Othman berkata hasil siasatan mendapati selain ibu bapanya, terdapat tiga saudara yang merupakan penduduk tempatan di pulau pelancongan itu menjadi kontak rapat kepada kanak-kanak berkenaan.

“Kesemua lima kontak rapat telah diambil swab dan diberikan arahan kuarantin selama 10 hari. Hasil keputusan swab kesemua kontak rapat adalah negatif,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati kemungkinan jangkitan ke atas kanak-kanak itu berlaku sebelum melancong ke Langkawi lagi dan siasatan lanjut serta pengesanan kontak rapat masih diteruskan.

Katanya ibu bapa kanak-kanak itu telah mendapat vaksinasi lengkap dan bukannya kes positif COVID-19 ataupun kontak rapat kepada kes positif virus berkenaan serta tidak bergejala.

“Saringan RTK-Antigen menggunakan air liur ke atas ibu bapa kanak-kanak ini telah dijalankan di KLIA2 iaitu sebelum berlepas ke Langkawi dan disahkan negatif. Dimaklumkan, kanak-kanak ini tidak mengalami gejala sebelum perjalanan dan semasa saringan kesihatan di KLIA2 sebelum berlepas ke Langkawi,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu