Social
107

Kanak-kanak 3 tahun maut dalam kemalangan

Kepala Batas – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas terbabit kemalangan bersama ahli keluarganya di Kilometer (KM) 124, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat sini, malam tadi.

Dalam nahas jam 7.40 malam itu, mangsa, Muhammad Iman Naufal Mohd Firdaus, 3, meninggal dunia di lokasi kejadian berikutan parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa bersama ibu bapanya berusia 33 tahun serta dua kakaknya berusia lima dan tujuh tahun dalam perjalanan ke Perlis untuk melawat ahli keluarga terdekat mereka yang sakit.

Katanya, lima sekeluarga itu menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Livina dari arah Seberang Jaya ke Perlis.

“Setiba di lokasi kejadian, tayar sebelah kiri kereta yang dinaiki mereka dikatakan pecah sehingga menyebabkan pemandunya hilang kawalan lalu melanggar bahagian tengah besi penghadang lebuh raya.

“Akibatnya, pemandu dan isterinya yang berada di tempat duduk hadapan mengalami cedera ringan, manakala seorang daripada tiga anak mereka yang berada di tempat duduk belakang iaitu Muhammad Iman maut akibat parah pada kepala,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) dekat sini, untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu