Social
84

Kanak-kanak 5 tahun ditikam bapa tiri

Iskandar Puteri – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun cedera dipercayai ditikam di kiri perut oleh bapa tirinya, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata perkara itu terbongkar selepas kanak-kanak itu memaklumkan ditikam ‘pakcik’ kepada doktor yang merawatnya.

Katanya, kanak-kanak itu dihantar oleh ibunya yang berusia 37 tahun bagi mendapatkan rawatan di hospital susulan kecederaan di perutnya, pagi Sabtu lalu.

Dzulkhairi berkata, doktor di sebuah hospital di sini membuat laporan polis kira-kira jam 9 pagi hari sama, susulan temu bual ringkas dengan mangsa selepas mengesan kecederaan di perutnya hasil tusukan objek tajam.

“Ketika ditemu bual sebelum pembedahan, kanak-kanak itu memberitahu dicederakan oleh ‘pakcik’ sendiri di rumah mereka di Kangkar Pulai.

“Susulan itu, polis menahan suspek dan siasatan awal mendapati lelaki berusia 38 tahun itu adalah bapa tiri mangsa.

“Suspek tidak bekerja dan pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Dia mendapat rawatan sakit mental di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sejak 2014 dan masih mengambil ubat yang dibekalkan hospital, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dzulkhairi berkata, suspek direman pada hari sama sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, Isnin lalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan turut dibawa ke Hospital Sultanah Aminah bagi pemeriksaan tahap mentalnya.

“Kita turut merampas sebilah pisau panjang berukuran kira-kira 29.5 sentimeter di rumah berkenaan bagi siasatan lanjut,” katanya. – BH Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu