Kuala Lumpur Post

Social

Kanak-kanak 6 tahun dikhuatiri dibaham buaya

SIBU — Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya ketika mandi sungai bersama ahli keluarga di Kampung Seberang Pasar Lama Tatau, Bintulu, lewat petang Rabu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa, Cicilia Julan Intik, tertumpu di sekitar jeti di tebing sungai.

Menurutnya sebaik panggilan kejadian diterima pada jam 7.21 malam, enam anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 5km dari balai itu.

Komander operasi melaporkan kejadian melibatkan seorang kanak-kanak perempuan mandi di sungai bersama ahli keluarga beliau pada jam 6.30 petang dan kejadian disaksikan oleh datuk mangsa, katanya menurut laporan Bernama.

Operasi pencarian mangsa ditangguhkan pada pukul 8.30 malam kerana keadaan cuaca gelap dan faktor keselamatan anggota SAR dan operasi pencarian akan disambung semula pada pagi hari ini.