Kuala Lumpur Post

Social

Kanak-kanak 8 tahun maut ditimpa dinding konkrit

BALING — Kanak-kanak lelaki lapan tahun maut dipercayai akibat ditimpa batu bata dinding yang baru dibina di belakang dapur rumahnya di Kampung Padang Lalang Besah, Mukim Tawar, Kuala Ketil di sini, semalam.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, mangsa dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tawar dekat sini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada pegawai perubatan klinik berkenaan, 12 tengah hari semalam

Beliau berkata, berdasarkan maklumat bapa mangsa, dia mengetahui kejadian selepas dihubungi isterinya tengah hari semalam yang memaklumkan anak mereka ditimpa batu bata.

“Ketika kejadian, bapa mangsa yang berusia 39 tahun bekerja di sebuah kilang di sini, manakala ibu kanak-kanak itu memasak di dapur.

“Terdahulu, ibu kanak-kanak lelaki itu sudah beberapa kali memberi amaran dan menasihatkan dua anaknya supaya tidak bermain di sekitar kawasan pembinaan tambahan ruang dapur yang sedang dibina oleh bapa mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shamsudin berkata, tidak lama kemudian, ibunya kemudian terdengar bunyi kuat kira-kira 10.30 pagi sebelum mendapati seluruh badan mangsa sudah ditimpa batu bata dinding dari belakang hingga menyebabkan berlaku pendarahan di badannya.

“Adik mangsa turut ditimpa dengan batu-bata dinding berkenaan di belakang badan, namun hanya mengalami cedera ringan sahaja.

“Kemudian, ibu mereka kemudian meminta bantuan daripada jiran untuk menghantar kedua-dua anaknya itu ke Klinik Kesihatan Tawar.

“Namun, sebaik tiba di klinik berkenaan, doktor mengesahkan salah seorang anaknya iaitu mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Shamsudin berkata, mayat kanak-kanak itu kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk bedah siasat.

Beliau berkata, polis sudah merakam percakapan ibu bapa kanak-kanak terbabit untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tags: , ,