Social
146

Kanak-kanak cemas kereta ibu dilarikan

Lumut -Seorang kanak-kanak perempuan melalui detik cemas apabila seorang lelaki melarikan kereta milik ibunya dalam kejadian di Seri Manjung, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata dalam kejadian 11.30 pagi itu, ibu kepada kanak-kanak berusia 12 tahun berkenaan meninggalkan anaknya di dalam kereta dengan keadaan enjin dan pendingin hawa dihidupkan sebelum turun membeli barang di kedai haiwan.

Beliau berkata sejurus keluar dari kedai berkenaan, mangsa mendapati kereta jenis Perodua Bezza miliknya tiada di tempat letak kereta dan terlihat seorang lelaki tidak dikenali membawa lari keretanya berserta anak perempuannya yang masih berada di dalam kereta tersebut.

“Mangsa cuba untuk menghalang keretanya namun suspek telah memecut laju kereta itu dan melarikan diri.

“Dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi kejadian, suspek telah ditangkap dan kereta serta anak mangsa dapat diselamatkan. Kanak-kanak itu dalam keadaan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Omar berkata pihaknya dimaklumkan oleh orang awam mengenai kejadian berkenaan dan bergegas ke lokasi kejadian sebelum menahan suspek berusia 24 tahun itu.

Menurut beliau, hasil saringan awal ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Semasa kejadian, kereta berkenaan tidak berkunci. Bagaimanapun, kita masih menyiasat motif sebenar dan suspek masih tidak dapat disoal siasat kerana masih di bawah pengaruh dadah,” katanya.

Beliau berkata suspek kini ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Seri Manjung untuk permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu