Social
337
0

Kanak-kanak hilang ditemukan selamat bersama bapa kandung

Kuala Lumpur – Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang di Wangsa Maju di sini sejak Sabtu lepas ditemukan selamat bersama bapa kandungnya petang semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Rajab Ahad Ismail berkata kehilangan kanak-kanak berusia lapan tahun itu berlaku selepas telefon bimbit bapa angkat yang juga bapa saudaranya rosak menyebabkan dia gagal dihubungi oleh bapa kandungnya.

“Bapa kandung kanak-kanak itu datang ke rumah mereka pada pagi Sabtu lepas dan ketika itu bapa angkatnya tiada di rumah kerana pergi ke kedai.

“Bapa kandungnya membuat keputusan mengambil kanak-kanak terbabit untuk dibawa ke rumahnya namun difahamkan gagal memberitahu abangnya kerana telefon bimbit abangnya itu rosak,” katanya kepada Bernama.

Rajab Ahad berkata susulan gagal menjumpai mangsa, bapa angkatnya membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju semalam dan polis kemudiannya mengeluarkan makluman Nur Alert mengenai kehilangan kanak-kanak berkenaan.

Bapa kandung kanak-kanak terbabit terkejut apabila melihat makluman itu dan kemudiannya segera membawa anaknya ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Wangsa Maju untuk tindakan lanjut.

“Mengikut perjanjian tidak bertulis mereka, bapa angkat kanak-kanak itu akan menjaganya manakala bapa kandungnya akan menemuinya pada masa tertentu.

“Tidak diketahui mengapa bapa angkatnya itu tidak menghubungi adiknya atau membaiki telefon bimbitnya sepanjang kehilangan kanak-kanak itu,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu