Social
200

Kanak-kanak hilang ketika mandi ditemui lemas

Kota Kinabalu – Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang ketika bermandi-manda bersama lima rakan di Sungai Inanam, di sini, semalam, ditemui lemas, pagi tadi.

Mayat Almunel Unim, 11, dijumpai di bawah jambatan sungai berhampiran stesen minyak di Jalan Tuaran Lama oleh anggota pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, kira-kira jam 6.20 pagi.

Kanak-kanak warga asing itu dikatakan mandi bersama rakannya di bawah jambatan sungai berkenaan, kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Bagaimanapun, mangsa didakwa tiba-tiba terkapai-kapai serta gagal diselamatkan sebelum rakannya pulang dan menceritakan kejadian kepada keluarga kanak-kanak itu.

Ketua BBP Lintas, Agustavia Joe Guasi, berkata pihaknya menerima maklumat pada jam 9.06 malam tadi apabila ibu mangsa hadir ke balai untuk meminta pertolongan mencari anaknya.

Susulan itu, beliau berkata, operasi SAR dilancar membabitkan 12 anggota dan seorang pegawai dengan dibantu lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kota Kinabalu.

“Namun, mangsa gagal ditemui dan operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 11.45 malam tadi.

“Operasi SAR disambung semula jam 6 pagi tadi sebelum mangsa ditemui pada jam 6.25 pagi dan disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. — BH Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu