Social
76

Kanak-kanak lelaki maut terjatuh dari tingkat 16 kondominium

Kuala Lumpur – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Batu Caves, Gombak, di sini.

Ibu saudara kanak-kanak itu Fauziah Hanum Cik Ros, 36, berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 10.30 pagi tadi apabila tiba-tiba beliau sedar mengenai kehilangan anak saudaranya itu selepas didapati tiada di biliknya.

“Semasa kejadian, saya sedang mandi dan dia (anak saudara) baru sahaja bangun tidur kerana dia tidur lewat semalam, namun sebaik sahaja saya siap mandi, saya tidak nampak kelibat dia (anak saudara) di rumah.

“Saya terus telefon Bella (ibu kanak-kanak itu) yang berada di luar semasa kejadian,” katanya kepada pemberita di ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya beliau mendapat tahu bahawa anak saudaranya itu berada di tingkat dua kondominium itu selepas dihubungi oleh Bella, yang dinaklumkan orang ramai bahawa ada kanak-kanak dikesan di tempat berkenaan.

Fauziah berkata anak saudaranya itu merupakan seorang yang aktif dan mempunyai seorang adik lelaki berusia empat tahun yang ketika kejadian turut berada di rumah.

Sementara itu teman lelaki Bella yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Am’ berusia 20-an berkata dia sepatutnya melangsungkan pernikahan dengan Bella Jumaat ini.

Am berkata beliau sedang tidur di rumahnya di Ampang semasa mendapat panggilan telefon daripada bakal isterinya itu yang memberitahu bahawa anaknya hilang.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Nik Ezanee Mohd Faisal berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai bermain dan memanjat sebuah katil yang berada di tepi tingkap.

Beliau berkata semasa kejadian mangsa berada dalam jagaan ibu saudaranya dan polis percaya mangsa terjatuh dari tingkap rumah mereka.

“Hasil siasatan mendapati tingkap berkenaan tidak dipasang jeriji dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi.

Nik Ezanee berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu