Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Social

Kanak-kanak maut didera: Terdapat kesan lebam pada seluruh tubuh

JOHOR BAHRU — Polis mengesahkan terdapat kesan penderaan pada tubuh badan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan yang maut di sebuah rumah di Jalan Ria 2 Taman Skudai, di sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata terdapat kesan lebam di keseluruhan tubuh badan mangsa menerusi laporan awal bedah siasat yang diterima.

“Laporan penuh bedah siasat makmal forensik belum diperolehi, bagaimanapun memang terdapat kesan akibat penderaan dilakukan terhadap mangsa.

“Kesan penderaan itu di keseluruhan badan dari atas sampai ke bawah seperti lebam-lebam dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasil laporan bedah siasat kanak-kanak itu.

Kamarul Zaman berkata dua anak kepada jurujual kenderaan berusia 28 tahun itu juga didapati berada di tempat kejadian ketika penderaan itu berlaku.

Beliau berkata dua kanak-kanak berusia tujuh dan lima tahun itu juga telah dipanggil ke Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) dan kedua-duanya mengakui melihat penderaan itu dilakukan bapa mereka terhadap mangsa.

“Kita telah bawa ke CIC dan positif kes ini ada unsur-unsur penderaan..dua kanak-kanak itu juga beritahu ada nampak bapa (suspek) dia lakukan penderaan kepada mangsa,” katanya.

Sementara itu Kamarul Zaman berkata pihaknya juga akan menyiasat dakwaan ahli keluarga mangsa bahawa adik lelaki mangsa yang berusia satu tahun turut didera dan menjelaskan akan memanggil ibu bapa mangsa untuk diambil keterangan.

“Kita akan ambil tindakan dan akan bawa kanak-kanak itu ke CIC untuk dapatkan maklumat,” katanya.

Semalam, Kamarul Zaman dilapor berkata lelaki terbabit yang merupakan rakan kepada bapa mangsa dan pembantu rumah berusia 40 tahun ditahan selepas disyaki mendera kanak-kanak itu sehingga maut dua hari lepas.

Beliau berkata bapa mangsa meminta bantuan daripada lelaki itu untuk menjaga dua anak mereka termasuk mangsa sejak tiga bulan lepas.

Terdahulu, jawatan Timbalan Ketua Polis Johor yang baharu kini diambil alih Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC), M. Kumar dengan memangku pangkat DCP.

Datuk Khaw Kok Chin yang berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Polis Johor semenjak 6 Mei 2020, kini memegang jawatan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman dengan memangku pangkat CP, lapor Bernama.

Tags: , ,