Social
79

Kanak-kanak maut dilanggar SUV ketika sedang berbasikal

Butterworth – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) ketika berbasikal di hadapan rumahnya di Kampung Tok Sani, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, Mohamad Aqil Aimar Ismail, disahkan meninggal dunia selepas lebih satu jam mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata siasatan polis mendapati kemalangan itu berlaku apabila pemandu wanita berusia 32 tahun dalam perjalanan keluar untuk melawat anaknya di Madrasah Gelugor, Bagan Lalang.

“Wanita yang tinggal berdekatan kediaman mangsa mahu keluar untuk menziarahi anaknya namun ketika dia membelok ke kiri selepas halaman rumahnya, secara tiba-tiba dia terdengar bunyi dentuman kuat lalu memberhentikan kenderaannya.

“Dia kemudian keluar memeriksa sebelum mendapati dia terlanggar seorang kanak-kanak lelaki yang menunggang basikal dari arah kiri jalan tar di hadapan halaman rumahnya,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau berkata wanita itu kemudian terus membawa kanak-kanak berkenaan ke unit kecemasan HSJ untuk rawatan.

“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.05 petang akibat kecederaan parah di kepala.

“Ibu bapa dinasihatkan supaya lebih peka dan mengawal anak-anak ketika berbasikal bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu