Social
176

Kanak-kanak maut disengat tebuan di rumah

Dungun – Seorang kanak-kanak lelaki  berusia 11 tahun maut selepas disengat seekor tebuan di kediaman keluarganya di Kampung Minda, Hulu Dungun di sini, petang semalam.

Rayyan Fitri Mohd. Nazuki yang merupakan murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Minda Talong disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan kira-kira pukul 2.30 petang semalam sebaik tiba di Klinik Kesihatan Bukit Besi di sini untuk menerima rawatan.

“Kira-kira pukul 2 petang tadi Rayyan sedang bermain telefon bimbit bersama kakaknya, Khalis Najla, 13, di dalam bilik tidur sebelum disengat seekor tebuan di tangan kanannya.

“ Waktu itu saya baru balik solat Jumaat, tiba-tiba saya lihat Rayyan sedang menangis sambil berjalan lemah ke tandas dan hampir rebah. Mujur saya sempat sambut dia daripada terjatuh,” kata bapa mangsa Mohd Nazuki Mat Jusoh.

Katanya beliau dimaklumkan oleh anak sulungnya Khalis Najla bahawa Rayyan Fitri telah disengat tebuan dan mengadu sakit kepala serta berasa panas di seluruh tubuh sebelum kakaknya itu menyuruhnya mandi untuk menyejukkan badan.

Mohd Nazuki berkata melihatkan keadaan Rayyan Fitri itu beliau bersama bapa mertuanya, Sudin Ripin, 63, bergegas menghantar anaknya ke Klinik Kesihatan Bukit Besi.

Tambahnya tahun lepas anak bongsunya Darwisy Ihsan, 7, juga pernah disengat tiga ekor tebuan di rumah mereka tetapi sempat dibawa ke klinik dan menerima rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian dan memaklumkan mayat mangsa kini berada di Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu