Kuala Lumpur Post

Social

Kanak-kanak maut jatuh ke dalam kolam dari tingkat 21

SERDANG — Kanak-kanak lelaki warga Yaman berusia lima tahun maut selepas terjatuh ke dalam kolam dari tingkat 21 sebuah kondominium di Bandar Putra Permai, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, polis menerima panggilan kejadian pada 2.42 petang.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kaki kiri kanak-kanak itu patah dan terdapat pendarahan melalui telinga serta hidung.

“Berdasarkan siasatan, dua pengawal keselamatan yang menjalankan rondaan di sekitar kawasan kolam melihat seorang kanak-kanak terapung di dalam kolam dan tidak sedarkan diri.

“Mereka memaklumkan penemuan itu kepada pihak pengurusan sebelum pihak pengurusan menghubungi 999.

“Bapa mangsa yang datang di lokasi mengangkat mayat anaknya dan diletak atas kerusi batu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian ibu bapa mangsa berada di dalam bilik manakala mangsa berada di ruang tamu.

“Mangsa disyaki terjatuh melalui tingkap di ruang tamu rumah mereka,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tags: