Social
235

Kanak-kanak maut, kondo terbakar

Georgetown – Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang ditinggalkan di rumah dengan pintu berkunci oleh ibu bapanya yang pergi ke kedai, maut selepas rumahnya di Kondominium The Rise Collection II, Jalan Dr Wu Lien Teh, di sini, terbakar pagi tadi.

Mangsa, Nur Rania Adelia Mohd Zaid, ditemui tidak sedarkan diri akibat terhidu asap dalam bilik tidur dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP), manakala adik lelakinya, Muhammad Ariq Zakwan,4, ditemui selamat di ruang tamu.

Kedua-dua kanak-kanak itu yang ditinggalkan ketika mereka tidur, ditemui ibu bapa mangsa yang bergegas pulang selepas terlihat kepulan asap di kondominium itu ketika membuat panggilan video dengan mangsa sebaik mereka tiba di kedai.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Aazelan Hassan, berkata bomba tiba di tempat kejadian kira-kira jam 9.05 pagi dan berusaha memberi bantuan pernafasan serta rawatan awal sebelum mangsa dihantar ke HPP.

“Sebaik menerima panggilan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak serta BBP Lebuh Pantai bergegas ke tempat kejadian.

“Ketika bomba tiba, dua kanak-kanak termasuk seorang yang tidak sedarkan diri, sudah dibawa keluar dari rumah itu oleh ibu bapa mereka, tetapi budak perempuan itu disahkan meninggal dunia di HPP selepas itu.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.36 pagi dengan kemusnahan kebakaran sehingga 70 peratus.

“Sistem penyelenggaraan bangunan itu yang berada pada tahap baik juga memudahkan anggota bomba memadam kebakaran, ” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Difahamkan, mangsa dan adik lelakinya yang sedang tidur ditinggalkan di rumah ketika ibu bapanya serta seorang lagi anak berusia setahun, pergi ke kedai di bawah unit kondominium itu. — BH Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu