Social
185

Kanak-kanak parah ditikam jiran

Kuala Lumpur – Seorang kanak-kanak lelaki cedera parah ditikam seorang warga emas yang disyaki mempunyai masalah mental di Taman permainan rumah pangsa, Jalan Loke Yew, dekat sini semalam.

Mangsa yang berusia empat tahun itu ditikam di perut dan paha oleh suspek yang juga jirannya, bagaimanapun keadaannya dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya berkata, anggota bertugas di Pusat Kawalan Daerah menerima maklumat berkaitan kejadian itu pada pukul 5.39 petang.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan polis telah pergi ke lokasi dan mendapati mangsa yang cedera ditikam di perut dan paha telah dibawa oleh keluarganya ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk rawatan lanjut.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati individu yang terlibat dikesan menyembunyikan diri di salah sebuah unit rumah pangsa tersebut.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan polis telah berjaya memberkas individu berusia 80 an yang juga jiran kepada mangsa,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, motif kejadian masih dalam siasatan dan semakan mendapati suspek mempunyai rekod rawatan psikiatri.

Katanya, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya.

“Siasatan sedang dijalankan dan seterusnya kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut,” ujarnya, lapor Kosmo Online.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu