Social
271
0

Kanak-kanak perempuan disyaki dibunuh bapa sebelum bunuh diri

Petaling Jaya –  Kanak-kanak perempuan ditemukan meninggal dunia disyaki dibunuh bapa kandungnya di sebuah rumah di Ara Damansara di sini, kelmarin.

Bapa kandung kanak-kanak berkenaan berusia 30-an yang juga warga Indonesia kemudiannya dipercayai membunuh diri dengan terjun dari tingkat atas bangunan kediaman terbabit.

Kejadian pada 6.30 petang itu disedari oleh jiran mangsa selepas mendengar jeritan ibu kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun berkenaan sebelum menghubungi pihak polis.

Mayat kanak-kanak itu ditemui di dalam bilik di rumah terbabit, manakala mayat bapanya pula ditemui di kawasan parkir motosikal di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menahan tiga individu warga Indonesia termasuk ibu kandung kanak-kanak berkenaan bagi membantu siasatan.

“Kami menahan tiga individu iaitu ibu kandung mangsa berusia 30-an serta dua penyewa lain di rumah berkenaan membabitkan sepasang suami isteri masing-masing berusia lingkungan 50-an untuk siasatan lanjut.

“Mereka direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nik Ezanee berkata, mayat kedua-dua individu berkenaan dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

“Siasatan akan dilakukan secara menyeluruh bagi mengenal pasti motif kejadian itu termasuk dakwaan bapa kandung merogol kanak-kanak terbabit.

“Pada masa sama, kami masih menunggu keputusan bedah siasat kedua-dua individu terbabit,” katanya. – Harian Metro

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu