Social
443

Kanak-kanak perempuan maut jatuh tingkat 7

Putrajaya – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah kuarters penjawat awam, di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.55 petang di sebuah kuarters penjawat awam di Presint 5 itu, mangsa dikenali sebagai Keisha Nawrah Md. ditemui orang awam di bawah bangunan dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa sempat diberikan rawatan kecemasan awal di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan lanjut namun, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7 malam.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian. Siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa tinggal bersama kakak berumur 14 tahun dan adik lelaki berumur tujuh tahun di rumah.

“Semasa kejadian itu, ibu bapa mangsa yang juga penjawat awam keluar bekerja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, siasatan mendapati mangsa berada di dalam bilik tidur seorang diri dan sedang belajar, manakala bilik berkunci dari dalam dengan keadaan jeriji tingkap tidak berkunci.

A. Asmadi memberitahu, sebaik ibu bapa mangsa pulang ke rumah, mangsa didapati tiada di dalam bilik dan keadaan tingkap terbuka sebelum menyedari orang ramai berkumpul di bawah bangunan.

“Ibu bapa mangsa kemudian bergegas ke bawah bangunan dan mendapati mangsa terbaring di atas lantai dalam keadaan kritikal.

“Kami tidak menemui sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian dan pemeriksaan doktor mendapati, mangsa patah dua belah siku dan kaki kiri. Kecederaan lain akan diketahui selepas bedah siasat,” katanya, lapor Kosmo Online.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu