Social
201

Kanak-kanak sindrom Down melecur teruk didera

Kuala Lumpur – Seorang kanak-kanak perempuan mengalami kesan melecur di dada, tangan, leher dan paha serta kesan luka di bahagian badan lain akibat disyaki didera di sebuah rumah penjagaan di Wangsa Maju baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, mangsa adalah orang kurang upaya (OKU) sindrom Down.

Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 24 Jun lalu membabitkan mangsa berusia 13 tahun.

Menurutnya, mangsa yang tinggal di kondominium berkenaan sejak 14 Julai 2020 sudah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan bahawa mangsa mengalami kecederaan akibat luka terbakar dan banyak kes luka lama di bahagian badan.

“Ujian saringan yang dijalankan juga mendapati mangsa positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan media, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, siasatan polis juga mendapati kediaman berkenaan turut didiami enam lagi kanak-kanak.

Katanya, dua daripada kanak-kanak itu berusia dua tahun turut menghidap sindrom Down namun tiada mengalami sebarang kecederaan dialami mereka.

Menurutnya, rumah berkenaan dijaga seorang wanita 28 tahun dan siasatan lanjut akan dijalankan terhadapnya bagi mendapatkan maklumat berkaitan kejadian.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

“Denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Semua saksi didapati positif Covid-19 dan polis akan meneruskan siasatan mereka selesai menjalani kuarantin yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Saiful Annuar berkata, polis menyeru orang ramai untuk sentiasa prihatin dengan keadaan persekitaran di kejiranan masing-masing dan menyalurkan sebarang maklumat penderaan, jenayah dan lain-lain di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu