Social
216

Kapal pengawal pantai China dikesan di perairan Sarawak

Kuching –  Kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan Sarawak terus mencetuskan kegusaran dalam kalangan nelayan negeri ini.

Terbaru, kapal pihak berkuasa China itu dikesan di kawasan Beting Patinggi Ali yang terletak 84 batu nautika dari Miri pada Jumaat lalu.

Sumber berkata, kejadian itu sudah dilaporkan oleh beberapa pemancing tempatan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Miri.

Berikutan itu, difahamkan aset APMM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dikerah ke lokasi terbabit untuk mengetatkan kawalan di kawasan yang turut dikenali sebagai South Luconia Shoals itu.

Bagaimanapun, jurucakap APMM Sarawak ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak dapat memberikan ulasan lanjut berhubung perkembangan terkini di Laut China Selatan itu.

“Sebarang ulasan (mengenai kehadiran kapal pengawal pantai China) akan dibuat oleh pihak kementerian yang berkaitan,” katanya.

Beting Patinggi Ali adalah gugusan batu karang yang terletak di perairan utara Sarawak dan berada di dalam zon ekonomi eksklusif (ZEE) Malaysia.

Gugusan batu karang itu antara kawasan yang dituntut oleh China melalui tuntutan 9-Dash Line di Laut China Selatan.

Pada Julai tahun lalu, Kerajaan Malaysia menegaskan pendirian untuk menolak tuntutan China di perairan itu melalui surat perwakilan Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). — Harian Metro

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu