Social
86

Kapal tangki Afrika ditahan APMM

Melaka – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan menahan sebuah kapal tangki di kedudukan 1.9 batu nautika barat daya dari Tanjung Kling, di sini semalam, selepas dipercayai tidak mempunyai perlindungan insurans.

Kapal tangki yang membawa 23 anak kapal itu ditahan sejurus menerima laporan daripada Jabatan Laut Malaysia (JLM) yang memaklumkan mengenai status kapal terbabit belayar tanpa perlindungan insurans, jam 4.20 petang.

Pengarah APMM Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Haris Fadzillah Abdullah berkata, susulan itu, pihaknya mengesan kapal tangki yang sedang berlabuh berkenaan sebelum melakukan pemeriksaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kapal terbabit didaftarkan di Tanzania, Afrika yang dikendalikan oleh 24 anak kapal warga China.

“Semua anak kapal berusia antara 22 hingga 46 tahun itu bagaimanapun memiliki dokumen perjalanan sah.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen jaminan insuran sebagaimana ditetapkan Pembatasan Liabiliti Untuk Tuntutan Maritim (LLMC) 1976 daripada Pengarah JLM.

“Selain itu, kapal berkenaan juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, katanya, anggota penguat kuasa menahan kapal serta semua anak kapal berkenaan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat APMM Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut. – Harian Metro

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu