Social
224

Kapten wanita Mesir dijadikan kambing hitam

Kaherah – Kapten kapal wanita pertama di Mesir menyatakan bahawa dia dijadikan kambing hitam apabila dipersalahkan berhubung insiden kapal kontena mega yang terkandas  di Terusan Suez, lapor akhbar New York Post semalam.

Marwa Elselehdar, 29, bertugas di atas kapal Aida IV di perairan Iskandariah dan berada beratus-ratus kilometer dari lokasi kejadian ketika kapal kontena MV Ever Given tersekat di Terusan Suez.

Begitupun, khabar angin dan berita palsu di internet mendakwa wanita itu yang menyebabkan kapal mega tersebut tersekat selama seminggu sebelum diapungkan semula.

“Saya terkejut dan fikir mungkin mereka menjadikan saya sebagai sasaran hanya kerana saya merupakan seorang kapten wanita pertama yang berjaya dalam industri ini.

“Atau mungkin juga kerana saya orang Mesir, saya tidak begitu pasti,” kata Marwa kepada agensi berita BBC.

Sehingga kini, identiti kapten kapal MV Ever Given belum didedahkan namun pegawai-pegawai Mesir memberitahu,  insiden kapal tersadai itu mungkin disebabkan oleh kecuaian manusia.

Marwa  berkata desas-desus tentang penglibatannya dalam insiden kapal tersadai itu tercetus susulan tangkap layar daripada berita yang disiarkan akhbar Arab News.

“Artikel palsu itu ditulis dalam bahasa Inggeris dan ia tersebar ke negara lain.

“Saya berusaha keras menafikan apa yang ditulis dalam artikel itu kerana ia menjejaskan reputasi saya serta semua usaha keras saya untuk sampai ke tahap ini,” kata Marwa.

Berita palsu itu juga menyebabkan dia diejek dan dijadikan bahan jenaka.

“Komen-komen pada artikel itu juga berbaur negatif dan kasar, namun saya juga ada menerima komen yang positif daripada individu yang bekerja dengan saya,” katanya lagi.

Marwa turut berpesan kepada wanita lain yang mahu menceburi industri maritim sepertinya untuk tidak membenarkan perkara negatif menjadi penghalang mereka mengejar cita-cita. – Agensi

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu