Social
289
0

Kartel daging: 2 pegawai MAQIS ditahan

Johor Bahru – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor hari ini menahan dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor kerana disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah berhubung isu aktiviti penyeludupan bahan mentah sejuk beku dari negara yang dilarang untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Kedua-dua pegawai disyaki itu yang berusia 27 dan 31 tahun ditahan di Pejabat SPRM Johor malam tadi, bagi membantu siasatan.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berikutan kes masih dalam siasatan.

“Kedua-dua mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret pagi ini bagi permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan.

“Siasatan dijalankan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.

Isnin lalu, seorang pengarah dan tiga pekerja sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku, di sini, direman empat hari berakhir hari ini.

Kesemua mereka yang direman itu berusia antara 39 hingga 50 tahun.

Empat direman berkenaan membabitkan pengarah, pengarah operasi, kerani syarikat sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku serta seorang lagi pengarah syarikat lain.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kartel daging import yang dipercayai membawa masuk daging yang diragui status halal. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu