Nation
335

Kartel daging: 4 pegawai Maqis, pengurus logistik didakwa

Johor Baharu – Empat pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan seorang pengurus logistik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini 10 pertuduhan membabitkan kartel daging antara Disember 2016 hingga Disember tahun lalu.

Tertuduh, Penolong Pegawai Penguasa Maqis, Nor Azlan Mat Suki, 40; Mohd. Hafizan Khalid, 44 dan pengurus ejen penghantaran, Abdul Latif A. Rahman, 55, membuat pengakuan tidak bersalah.

Manakala, Khairul Izat Sulaiman, 31, dan Mohammad Sofyan Mohd. Zaim, 27, mengaku bersalah.

Mereka masing-masing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, Nor Azlan dan Mohd. Hafizan didakwa masing-masing lima serta satu pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM37,500 bagi melepaskan 41 kontena yang membawa daging sejuk beku milik Syarikat ZS Amin Sdn. Bhd. dari negara yang tidak diiktiraf Jabatan Veterinar Malaysia.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di dua buah restoran berasingan di Nusajaya dan Johor Bahru antara Disember 2016 hingga Mac 2017.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana yang lebih tinggi.

Manakala, Abdul Latif pula didakwa atas dua pertuduhan pilihan dengan memalsukan dokumen menggunakan sebagai tulen iaitu Borang Pengakuan Barang-barang Yang Diimport dari Syarikat LY Frozen Sdn. Bhd. bertarikh 5 Oktober dan 9 November 2020.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Kastam Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Gelang Patah di sini pada 5 Oktober dan 9 November 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, Khairul Izat dan Mohammad Sofyan pula mengaku bersalah atas pertuduhan gagal melaporkan pemberian sogokan masing-masing RM100 serta RM30 daripada Abdul Latif sebagai ejen penghantaran QFF Logistic Sdn. Bhd. bagi mempercepatkan proses pemeriksaan dokumen dan fizikal konsainan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Maqis, Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah di sini pada 5 Oktober dan 10 November 2020.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 25(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Suhaili Sapun dan Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Nor Azlan diwakili peguam bela Peter Tan manakala Mohd. Hafizan dan Abdul Latif masing-masing diwakili Mohd. Razak Sharif serta S. Vijaya.

Khairul Izat dan Mohammad Sofyan tidak diwakili peguam.

Nor Azlan dan Mohd. Hafizan diberi jaminan RM7,000 manakala Abdul Latif RM8,000 serta Mohammad Sofyan RM5,000 dan mahkamah menetapkan 29 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Khairul Izat prosiding akan bersambung pukul 2 petang ini. – Kosmo Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu