Nation
632
0

Kartel daging: Syarikat palsukan logo halal didakwa esok

Kuala Lumpur – Sebuah syarikat yang disyaki terbabit dalam pemalsuan logo halal dalam kes kartel daging haram, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, esok.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, berkata tindakan itu sekali gus menafikan dakwaan sebelum ini bahawa kerajaan cuba melindungi pihak dan syarikat yang terbabit dalam perkara yang menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Bukan kita tidak mahu mendedahkan syarikat, namun masalahnya perkara ini dilakukan oleh sebuah syarikat pengumpul daging, yang kemudiannya menggunakan logo syarikat lain (mangsa) yang terkenal dan mempunyai permintaan tinggi untuk memasarkan produk itu.

“Kalau kita mendedahkan nama syarikat yang jadi mangsa itu, ia akan mencalarkan imej syarikat berkenaan, sedangkan itu bukan salah mereka,” katanya pada sesi penggulungan usul kartel daging haram yang dikemuka oleh Senator Asmak Husin.

Lebih sembilan orang Senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan isu itu, selepas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim membenarkan usul itu dibahaskan mengikut Peraturan 17 (1).

Rosol berkata, kerajaan tidak pernah memandang remeh berkenaan isu itu dan sudah melakukan beberapa tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit.

Katanya, ini termasuk langkah membeku aset syarikat itu yang bernilai RM1 juta, merampas 24 rubber stamp syarikat-syarikat jenama yang mempunyai permintaan tinggi, menyita 5,000 keping pelekat halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan 2,428 kotak daging beku yang dianggar bernilai RM738,640.

Beliau berkata, laporan yang mengatakan bahawa aktiviti kartel daging haram itu berlaku hampir 40 tahun tidak tepat.

“Tidak benar perkara ini telah berlaku hampir 40 tahun, sebab siasatan kementerian mendapati, syarikat terlibat baharu mendaftar pada 2014 dan memperoleh lesen untuk mengimport produk sejuk beku pada 2017.

“Pada masa yang sama, ujian Jabatan Kimia terhadap sampel daging beku yang diambil daripada gudang simpanan itu mengesahkan, ia bukan daging kuda, kanggaru serta babi, dan ini memberikan kelegaan kepada kita,” katanya.

Untuk mengelak perkara yang sama berlaku pada depan, Rosol memaklumkan kementerian menubuhkan jawatankuasa perundangan dan penguatkuasa halal, bagi menyelaras tindakan dan isu penguatkuasaan halal dalam negara. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu