Nation
571

Kaum Cina, India dan Orang Asli terima manfaat Bajet 2022

Kuala Lumpur – Inisiatif menyeluruh buat segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, usia, jantina dan wilayah dilaksana melalui Strategi Membangun Sebuah Keluarga Malaysia dalam Bajet 2022.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sejumlah RM200 juta disediakan khusus untuk kaum Cina antaranya untuk melaksana program baik pulih rumah dan kemajuan kampung baru, akses pembiayaan bagi penduduk kampung baru dan skim pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Bagi kaum India pula, beliau berkata RM145 juta disediakan antaranya untuk melaksana program memperkasa sosioekonomi komuniti India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India dan dana pembiayaan di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India oleh TEKUN Nasional.

Katanya kerajaan turut memperuntukkan RM50 juta bagi kerja-kerja pembaikan, penyelenggaraan dan pembangunan kecil rumah ibadat di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan serta pelaksanaan aktiviti-aktiviti komuniti dengan kerjasama pengurusan rumah ibadat dan penduduk setempat.

“Dalam menggalakkan anak-anak Sabah dan Sarawak mendalami ilmu berkaitan budaya dan warisan, RM10 juta disediakan untuk tujuan ini,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul berkata RM274 juta pula diperuntukkan bagi melaksana program peningkatan taraf hidup komuniti Orang Asli seperti pemberian subsidi dan bantuan persekolahan serta bantuan kebajikan untuk manfaat hampir 200,000 Orang Asli.

Katanya bagi tahun hadapan, kerajaan juga akan menaikkan kadar wang saku murid sekolah menengah komuniti berkenaan kepada RM4 sehari.

Bagi mendokong agenda perpaduan dan budaya sukarela di peringkat komuniti, Tengku Zafrul berkata kerajaan menyediakan peruntukan RM50 juta bagi geran RM6,000 untuk setiap Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang akan memanfaatkan lebih 8,000 KRT, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu