Nation
88

KDN arah operasi pemantauan SOP dipertingkatkan

Putrajaya – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan jabatan dan agensi penguatkuasaan meningkatkan bilangan operasi pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah diwartakan.

Jabatan dan agensi terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Agensi Antidadah Kebangsaan dan Agensi Kawalan Sempadan.

KDN dalam kenyataan hari ini berkata arahan itu dikeluarkan bagi memastikan penularan pandemik COVID-19 dapat dibendung dengan lebih berkesan dan menyeluruh terutama menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan.

Selain menambah bilangan kekuatan anggota serta operasi sekatan jalan raya di lapangan, pemantauan ketat juga akan dijalankan bagi menghalang individu yang mengambil kesempatan untuk merentas negeri atau daerah menggunakan pengangkutan awam seperti KTM Komuter, LRT, MRT, ERL, KL Monorail atau perkhidmatan e-hailing.

“KDN memantau rapat perkembangan penularan pandemik COVID-19 dalam negara dan menerima banyak laporan daripada jabatan serta agensi penguatkuasaan berhubung masalah kekurangan pematuhan terhadap SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di kawasan-kawasan tertentu di Selangor, Johor, Terengganu, Perak dan Kelantan serta seluruh Kuala Lumpur sebagai salah satu usaha bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.

Semenjak PKP dilaksanakan dan sehingga kini, seramai 100,980 anggota dari pelbagai jabatan dan agensi KDN terlibat dalam penugasan COVID-19.

KDN menyeru semua pihak untuk terus mematuhi SOP yang telah diputuskan oleh kerajaan dan memberikan kerjasama jitu terhadap segala usaha dan langkah kerajaan bagi melindungi nyawa rakyat daripada ancaman pandemik COVID-19.

Semalam, Malaysia mencatatkan sejumlah 4,498 kes positif baharu COVID-19, menjadikan kes keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 432,425 kes. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu